Percayailah Dirimu


Mempercayai diri adalah sebuah penerimaan sepenuh hati apa yang Allah beri/anugerahkan kepada setiap diri kita. Peranan yang perlu dimbil oleh diri adalah mengembangkan potensi untuk manfaat pada diri sendiri. Kerana setiap diri itu ada tanda-tanda kekuasaan Allah.

Allah berfirman; “…dan pada dirimu sendiri ( terdapat tanda – tanda kekuasaan Allah ). Maka apakah kamu tidak memperhatikan? (QS. Adz Dzaariyaat:21)

Allah Maha Teliti pada kejadiannya apatah lagi manusia yang sebaik-baik kejadian. Firman Allah “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan “ (Al-Israa' 17:70).

Allah mengiktiraf kita ini sebaik-baik makhluk yang Allah jadikan. Baik atau buruk, lebih atau kurangnya kita berbanding yang lain adalah anugerah terindah yang Allah kurniakan sesuai dengan keadaan kita dan yang lebih mengetahuinya adalah Allah, Yang Maha Mencipta.

Yang lebih utama adalah kita masing-masing ada potensi masing-masing yang berbeza. Ada orang dianugerahkan pandai memasak, si dia pula pandai melukis, si dia pula pandai menjahit, tidak semua ada potensi yang sama bahkan sangat unik untuk setiap individu-individu yang lain.
Oleh itu, usaha kita adalah mengembangkan potensi yang ada pada diri. Siapa lagi yang lebih kenal pada diri kalau tidak diri kita sendiri.

Kenal diri akan memberi kesan ketenangan hati. Kita mudah memberi kepuasan pada diri jika kenal pada diri. Kepuasan inilah yang menghasilkan ketenangan dalam diri.

Amat malanglah jika kita tidak mengenal diri. Dr Aidh Al Qarni menulis. .. “Tidak ada orang yang paling menderita, melebihi orang yang tumbuh tidak menjadi dirinya sendiri, tumbuh tidak menjadi jasadnya sendiri, dan tidak menjadi pikirannya sendiri.”

Know yourself, know your potential.
It’s a beginning of your wisdom.

 Nor Radhiah Binti Chee
#BicaraNrc4006

Comments

Popular Posts